Sabtu, 19 Mac 2016

PSS mula beroperasi

Setelah sebulan diberi masa kepada unit PSS untuk mengemaskini dan menaik taraf ruang PSS, pada bulan Februari PSS telah dibuka kepada semua warga sekolah. Walaupun masih banyak kekurangan dan proses kerja untuk menceriakan PSS, warga SMKBKT telah mula menggunakan PSS.
Buku yang ada masih tidak mencukupi berbanding dengan jumlah warga sekolah, tetapi aktiviti sirkulasi tetap dijalankan demi menggapai hasrat unit PSS untuk melahirkan warga SMKBKT yang cintakan ilmu pengetahuan.

Diharap unit PSS akan terus maju untuk terus menaik taraf PSS SMK Bukit Kuching Tengah agar dapat digunakan oleh warga sekolah semaksimum mungkin.



Majlis Persaraan Ustazah Mariah

Pada 14 Januari, ruang perpustakaan PSS telah dipilih sebagai tempat untuk diadakan majlis jamuan makan sempena persaraan Ustazah Mariah Mohd Sharie. Beliau telah berkhidmat di SMKBKT mulai tahun 2013. Beliau merupakan seorang guru yang sangat disenangi oleh rakan setugas juga murid-muridnya. Suara beliau yang lembut penuh sabar memberi nasihat dalam usaha mendidik anak-anak SMK Bukit Kuching Tengah. Kami berdoa agar Ustazah Mariah terus dikurniakan kesihatan dan kebahagiaan sepanjang usia beliau.
Kelab Guru dan Staf Sokongan (KGSS) banyak membantu unit PSS dalam usaha menyediakan ruang yang selesa bagi majlis tersebut.

Selamat Bersara diucapkan kepada Ustazah Mariah.













Proses Mendaftar Buku

Sepanjang bulan Januari, PSS ditutup bukan sahaja untuk penambahbaikan infrastruktur dan ruang dalam PSS malah juga bertujuan untuk memberi masa kepada guru PSS dan pengawas PSS mendaftar buku ke dalam sistem Tarantula memandangkan sebelum ini proses mendaftar buku dilakukan secara manual. Proses ini masih berjalan sehingga sekarang oleh guru PSS dengan bantuan beberapa orang murid.




Pengubahsuaian Ruang Kerja PSS

Selepas proses gotong royong yang telah dilaksanakan pada 8 Januari, ruang PSS telah dilakukan sedikit pengubahsuaian untuk menyediakan ruang kerja kepada guru PSS yang akan berada di sana bagi memastikan PSS sentiasa berada dalam keadaan yang terkawal. Selain daripada itu, pengubahsuaian tersebut juga dilakukan untuk menyediakan ruang bagi menempatkan rak-rak fail.






Gotong Royong Mengemas Pusat Sumber Sekolah

Pada 8 Januari (Sabtu), guru PSS bersama dengan beberapa orang murid SMKBKT telah bertungkus lumus dalam mengemas dan mengubahsuai pusat sumber sekolah untuk kegunaan semua warga SMKBKT pada tahun ini. Sepanjang bulan Januari, PSS ditutup kepada warga sekolah untuk memberi peluang kepada unit PSS bekerja.
Semua bahan cetak dan bukan cetak diproses semula dengan menggunakan sistem outomasi. Terima kasih yang tidak terhingga kepada pengawas PSS yang sangat berdedikasi tanpa mengira waktu dalam usaha mengautomasikan semua bahan di PSS.

Walaupun masih banyak lagi pengubahsuaian dan usaha yang perlu dilakukan, insyaAllah unit PSS akan bertungkus lumus bagi memastikan PSS SMK Bukit Kuching Tengah selesa dan boleh digunakan semaksimum mungkin oleh warga sekolah.

Tahniah dan terima kasih kepada semua yang terlibat.